Real hampir dimalukan sebelum catat kemenangan


MADRID - Penolong jurulatih Real Madrid, Aitor Karanka berkata, mereka perlu segera menghentikan melepaskan gol lemah daripada sepakan percuma selepas juara Sepanyol itu melepaskannya sebanyak dua kali sebelum mereka bangkit untuk mencatat kemenangan 5-2 ke atas Mallorca di Bernabeu, kelmarin.
Pasukan pelawat mendahului 2-1 pada separuh masa pertama selepas Emilio Nsue dan Alejandro Alfaro menjaringkan gol melalui tandukan bebas sebelum Gonzalo Higuain membalas untuk Real dan Mallorca hampir menjadikan kedudukan 3-1, namun tandukan Alan Hutton tersasar keluar.
"Kedudukan bola mati memberikan kami banyak masalah sejak dari awal musim lagi. Kami hilang konsentrasi dan kurang komunikasi itulah perkara yang perlu diperbaiki menjelang penghujung liga," kata Karanka pada sidang media.
Los Blancos amat bernasib baik selepas kemasukan Mesut Ozil dan Karim Benzema pada separuh masa kedua, mengubah perlawanan apabila mereka berjaya menjaringkan tiga gol dalam tempoh enam minit, melalui Cristiano Ronaldo, Luka Modric dan Higuain memberikan mereka selesa mendahului perlawanan sebelum Benzema menambah gol pada masa kecederaan.
"Pada separuh masa pertama kami melakukan banyak kesilapan. Bukan sahaja menyebabkan kami bolos tetapi mudah memberi bola kepada pasukan lawan dan melakukan kekasaran yang bodoh.
"Pertukaran yang dilakukan terhadap Kaka dan Modric membolehkan kami kembali mendapat rentak dan saya rasa pasukan ini dibina untuk kemenangan.
"Anda boleh menyenaraikan pasukan yang dirasakan terbaik tetapi menentang pasukan seperti Deportivo beberapa minggu lalu atau hari ini, apa yang penting ialah carak anda menukar corak permainan yang lebih dinamik," katanya.
Mallorca masih lagi menghuni tangga tiga terbawah, namun mereka sebelum ini telah mencatat dua kemenangan dan berada di depan seawal minit keenam melalui Nsue selepas larian deras Giovani Dos Santos di sebelah kiri dan melakukan hantaran lintang.
Bagaimanapun, gol tersebut hanya bertahan selama lapan minit selepas Modric melakukan hantaran kepada Pepe sebelum melorongkannya kepada Higuain yang berjaya menjaringkan gol penyamaan.
Pasukan lawan sentiasa memberi ancaman dan mereka berada di depan sekali lagi apabila Giovani sekali lagi melakukan hantaran lintang sebelum Pedro Bigas menanduk ke belakang menemui Alfaro yang menyudahkan umpanan tersebut